selamat datang

Isnin, 16 Mac 2009

Rungsing...??


Rawatan oleh pakar kulit penyelesaian terbaik jika penggunaan syampu tak berkesan
KELEMUMUR mungkin masalah biasa bagi sesetengah orang, namun bukan perkara wajib yang mesti dialami, apatah lagi ia boleh ditangani dengan pelbagai jenama syampu berubat.
Kelemumur sebenarnya masalah kulit kepala yang boleh dialami oleh sesiapa saja termasuk bayi, kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Kebanyakan kes kelemumur tidak memerlukan rawatan doktor, tetapi jika selepas beberapa minggu menggunakan syampu berubat, kelemumur tidak hilang atau kulit kepala menjadi merah dan bengkak, anda mungkin perlu berjumpa pakar kulit.
Ramai orang beranggapan kelemumur itu berkaitan dengan masalah kebersihan dan kekerapan anda membasuh rambut. Sebenarnya tidak, kelemumur tetap berlaku walaupun anda bersyampu atau sebaliknya.
Kelemumur sebenarnya sebahagian daripada proses normal pertumbuhan sel kulit kepala yang baru. Ia selalunya dikaitkan dengan proses sel kulit tumbuh dan mati lebih cepat berbanding masa yang sepatutnya.
Proses pertumbuhan sel kulit baru menyebabkan sel kulit lama mati dan gugur dari kulit kepala. Proses itu akan lebih cepat apabila seseorang itu berkelemumur. Sel itu juga membentuk keruping yang lebih besar dan jelas dilihat pada mata kasar.
Bagaimanapun, punca sebenar bagaimana kelemumur terjadi tidak diketahui. Secara umumnya, ia dikaitkan dengan kewujudan fungus dikenali sebagai ‘pityrosporum ovale’. Fungus itu menyebabkan seseorang mengalami kelemumur.
Fungus ini tinggal di kulit kepala, bagi mereka yang sihat ia tidak akan menyebabkan sebarang masalah. Ada kalanya apabila jumlahnya terlalu banyak ia menyebabkan kegatalan dan sel kulit gugur.
Kelemumur adalah fenomena global dan dialami oleh kebanyakan orang. Ia terjadi di kalangan dua hingga lima peratus populasi, tidak kira dewasa atau kanak-kanak termasuk bayi seawal usia tiga bulan.
Kelemumur akan menyebabkan kulit kepala terasa gatal dan kelihatan berkuping-kuping. Kelemumur bukan masalah berjangkit dan bukan masalah serius. Ada kalanya ia sukar dirawat dan memalukan.
Secara umumnya, kelemumur ditangani dengan syampu berubat dan kekerapan anda untuk bersyampu. Namun, jika syampu tidak banyak membantu, anda mungkin perlu membuat temujanji dengan pakar kulit.

INFO: Golongan berisiko alami kelemumur
# Ia bermula pada peringkat usia dewasa dan berterusan hingga pertengahan usia. Namun, ada juga mereka yang berhadapan dengan kelemumur sepanjang hayat.
# Lelaki lebih kerap berhadapan dengan kelemumur. Dipercayai hormon lelaki memainkan peranan utama dalam hal ini. Lelaki juga mempunyai kelenjar penghasilan minyak pada kulit kepala yang lebih besar berbanding wanita. Justeru, ia menyumbang kepada terjadi kelemumur.
# Rambut dan kulit kepala yang berminyak
# Diet pemakanan yang kurang zink, vitamin B dan sesetengah jenis lemak.
# Masalah penyakit berkaitan neurologi.

INFO: Punca
# Kulit kering - punca biasa yang menyebabkan kegatalan dan kulit berkeruping.
# Kulit gatal dan berminyak - menyebabkan kulit bertanda kemerahan dan berminyak.
# Kurang bersyampu
# Masalah kulit seperti psoriasis
# Ekzema pada kulit kepala
# Sensitif pada bahan kimia yang digunakan dalam syampu rambut
# Perubahan hormon
# Tekanan
# Masalah neurologi
sumber: Mayoclinic.com.

Tiada ulasan: